|
KUALA LUMPUR 23 Julai - Polis telah
mengenal pasti identiti mayat lelaki yang ditemui
berhampiran kedai kaca mata Ampta Optical Sdn. Bhd.
di Kompleks Bandar, Jalan Klang Lama di sini pada
8 Julai lalu.
Mayat tersebut ketika ditemui pada pukul 9.20 malam
hari berkenaan tidak mempunyai sebarang identiti pengenalan
diri.
Mangsa dikenal pasti sebagai Jayakumar Karuppiah
yang berusia 34 tahun. Alamat pada kad pengenalannya
ialah No. 29/31B, Jinjang Selatan, Segambut.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner
Sulaiman Junaidi berkata, butir-butir pengenalan diri
mangsa diperoleh melalui cap jari yang disemak menggunakan
Sistem Identiti Cap Jari Automatik (MAFIS).
Beliau berkata, pihak polis mendapat alamat tersebut
tidak dapat dikesan.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa kurang
siuman dan selalu meminta wang daripada orang ramai
serta tidur di tepi kaki lima bangunan di sekitar
Kompleks Bandar di Jalan Mega Mendung di sini.
"Sehingga kini mayat mangsa belum dituntut dan
waarisnya masih dicari," ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian
itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd.
Khorsaini Mohd. Noor di Balai Polis Petaling melalui
talian 03-77826222, Rakan Cop di talian 03-21159999
atau khidmat pesanan ringkas (SMS) POLISKL 32728.
|